BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 19 Ogos 2010

Pasar Tani Malam











Mula beroperasi di Kg Sg Keling pada 31 Mac 2010. Pasar mingguan yang diadakan setiap Rabu ini merupakan antara alternatif kepada warga WP Labuan mencari bahan mentah makanan dan minuman serta keperluan-keperluan harian lainnya. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Labuan kerana memberi ruang kepada para peniaga belia WP Labuan untuk turut berniaga di ruang ini yang dikendalikan oleh Majlis Belia Labuan. Sempena Bulan Ramadhan ini, pasar ini juga merupakan antara lokasi Bazaar Ramadhan yang baru bagi tahun 2010 ini. Jom berbelanja...

Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata
















Ketibaan Syawal pasti dinantikan dengan penuh kegembiraan dikalangan kaum Muslimin. Riuh rendah persiapan di kala menyambut lebaran kadang kala menambahkan detik suka di dalam kehidupan yang dilalui. Tetapi bukan semua insan bernasib baik diberi keindahan nikmat sedemikian. Sewaktu kita menyambut hari kemenangan umat Islam ini dengan pelbagai sambutan dan persiapan serta persalinan yang hebat, ada juga golongan yang meratap pilu sewaktu Hari Raya Aidil Fitri ini.





Dengan adanya Program Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata ini diharapkan dapat memberikan sedikit keceriaan dikalangan warga rumah-rumah anak yatim yang turut terlibat dalam program ini. Sumbangan berupakan pakaian raya baru yang didermakan oleh seluruh rakyat Malaysia dengan Selangor FM menjadi perintis kepada program ini. Di WP Labuan, Majlis Belia Labuan merupakan agensi yang mengelolakan program ini di sini telah menerima sumbangan warga WP Labuan melalui kaunter kutipan di Ujana Kewangan Labuan, kutipan oleh exco-exco MBL sendiri dan penyerahan sumbangan di beberapa agensi yang turut prihatin dengan nasib golongan ini.





Satu majlis penyerahan hasil sumbangan daripada WP Labuan telah diadakan di salah sebuah restoran terkemuka di WP Labuan pada 30 Julai 2010 yang lepas. Hasil kutipan diberikan kepada pihak Selangor FM yang diwakili oleh Pn Wahidah Yaacob untuk diagih-agihkan di rumah-rumah anak yatim yang terlibat. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian dalam menjayakan program ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua dermawan-dermawan WP Labuan. Semoga kalian semua mendapat rahmat dan sentiasa dibawah lindungan Tuhan Yang Maha Esa. Amin.

Khamis, 21 Januari 2010

Program "Saya Sudah Besar"

Program "Saya Sudah Besar" (majlis berkhatan beramai-ramai) ini telah diadakan sempena musim cuti persekolahan yang lepas. Antara pengisian program ini adalah acara berkhatan yang dijalankan pada 12 Disember 2009 di Hospital Nukleus WP Labuan. Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Yg Berbhg Dr Harun Pudin, Penasihat Perbadanan Labuan selaku wakil kepada Ahli Parlimen Labuan pada 25 Disember 2009 di Surau Al-Hijhrah Kg Sg Miri. Pada majlis penutupan tersebut, para peserta diarak dari Perbadanan Labuan menuju ke Surau Al-Hijrah Kg Sg Miri dengan menaiki kenderaan Volkswagen dengan kerjasama Persatuan Volkswagen Labuan. Setibanya di surau tersebut, para peserta disambut oleh Yg Berbhg Dr Harun Pudin bersama orang ramai dan istiadat penuh tempatan dimulakan. Antara tetamu yang hadir adalah Datuk Isli Hj Siput (Penasihat MBL) dan Tn Hj Suib Nasir (Pengerusi MBL). Majlis Belia Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama yang diberikan daripada semua pihak. Semoga Allah SWT membalasnya dengan nikmat yang setimpal. Amin.

Khamis, 29 Oktober 2009

TOT PJKN 2008





Ni la antara aktiviti TOT PJKN 2008 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Labuan dengan Kerjasama Majlis Belia Labuan. Bagi yang tertanya-tanya ada dia program ni....program ini ada kursus khas bagi penceramah-penceramah PJKN. Selepas tamat kursus, peserta-peserta inilah yang akan menjadi penceramah untuk program PJKN akan datang. Jadi ibubapa/ penjaga tak perlulah ragu-ragu menghantar anak-anak mereka mengikuti kursus-kursus anjuran kami ni kerana penceramah-penceramahnya terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pentauliahan.
Jangan lepaskan peluang untuk turut sana menyertai PJKN 2010 sempena cuti sekolah ini. Kami akan maklumkan kepada anda untuk sesi pengambilan berikutnya.

Isnin, 5 Oktober 2009

PERTANDINGAN BERCUCUL 2009
















PERTANDINGAN BERCUCUL 2009


Sempena menjelangnya Aidilfitri kali ini Majlis Belia Labuan telah menganjurkan Pertandingan Bercucul 2009 bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Pertandingan ini diadakan pada 19 September 2009 bermula jam 8.00 malam dan dibuka kepada Persatuan Belia ysng ada di WP Labuan. Sebanyak 6 Persatuan belia telah menyertai pertandingan kali ini iaitu Persatuan Belia Baru Kg Lubok Temiang ( PELITA BARU ), Persatuan Belia Kg Ganggarak / Merinding ( BERGANDING ), Persatuan Belia Kg Durian Tunjung ( DURIAN ), Persatuan Belia Kg Gersik / Saguking ( GESA ), Persatuan Belia Kg Sg Miri ( PARI ) dan Persatuan Belia Millineium Kg Bukit Kalam ( BMBK ) .

Pertandingan ini diadili oleh 4 orang pengadil iaitu En Hasmizulizam Hamidon ( MPL / MBL ), En Nazri ( JBSWPL ), En Taher Kamel ( JBSWPL ) dan En Bob ( JBSWPL ).

Ahad, 4 Oktober 2009

PROGRAM PERWIRA NEGARA JASAMU DIKENANG

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke 52 pada tahun ini, Majlis Belia Labuan dan penganjur bersama telah menganjurkan Program Perwira Negara Jasamu Dikenang.


Program ini merupakan program yang julung-julung kali dianjurkan oleh Majlis Belia Labuan dalam mendedikasikan rasa penhormatan dan penghargaan kepada pejuang kemerdekaan di WP Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Tn Hj Abdullah Amir Hussin merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labuan yang mewakili Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussuf Mahal. Penganjur bersama bagi program ini ialah Pejabat Parlimen WP Labuan, Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Pemuda UMNO WP Labuan, Puteri UMNO WP Labuan, Jabatan Penerangan WP Labuan dan Persatuan Belia Kg Layang-Layangan ( BEKALAN ).


Program ini telah diadakan pada 09 September 2009 bertempat di Masjid Jamek An Nur Layang-Layangan bermula selepas Asar dan berakhir selepas Majlis Berbuka Puasa. Antara pengisian program ini ialah Bacaan Yaasin Beramai-Ramai dan Slot Tayangan dan Bual Bicara Kemerdekaan. MBL juga telah mengadakan penyampaian cenderahati penghargaan kepada bekas-bekas perajurit negara. Seramai 15 orang telah menerima cenderahati penghargaan daripada MBL Mereka terdiri daripada bekas tentera dan juga ahli politik. Antara senarai penerima cenderahati tersebut ialah Datuk Isli Hj Siput, Bahari Dani, Hasanuddin Abdullah, Mulok Sulaiman, Yusof Tersil, Pandin Mail, Salleh Kadir, Hj Alias Hussin, Bongsu Marup, Abdullah @ Ahman Salleh, Ibrahim Abdullah, Mohammad Yusoh Manat, Hamid Hj Ismail, Zainal @ Lamat Sulong dan Bumli Banga.

Turut diadakan ceramah H1N1 oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan dalam program tersebut. Hadir sama pada hari tersebut ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Hj Hashim Bin Sintol dan ketua-ketua Kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.